Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

11.6.07

PAKAIAN KEINDAHAN

(Untuk Isteriku. Ketika saat kau bergelar isteri)

Ketika engkau mengenakan pakaian keindahan
aku melihat engkau meresap dalam jasadku
mencurah sari dingin di kolam hati
melarutlah pandang keasyikan.

Ketika engkau mengenakan pakaian keindahan
wajahku akan bercahaya
kusyukuri ia kurniaan Tuhan.

Pakaian ini pakaian kesaktian
tidak mudah diperoleh,dijual beli
terjahit dari tulus damai rasa cinta
dan hening syukur sebuah perkongsian
selagi tali taat tidak kaulepaskan
engkaulah pemilik abadi.

Begitulah engkau dalam mataku
jernih dalam kesegaran cinta
putih dalam hitam derita.

Usai solat paling aku permai
tangan pedih luka ini kaucium mesra
belayarlah laraku
melalui gerbang tenang damai
engkau memimpinku
ke pulau kasih sayang.

Engkaulah isteri berseri
solehahmu menjadi pakaian kebanggaanku!

Kota Bharu, Kelantan.
2003

*Puisi ini tersiar di Majalah Pa&Ma tahun 2003. Dan pada hari yang sama aku menerima berita isteri mengandung anakku yang sulung.

No comments:

Arkib