Rabbani-Pergi Tak Kembali

Intermeso

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My Photo
Syaidul Azam Bin Kamarudin
> Tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. > Menghampiri fotografi sebagai hobi sekiranya tidak bermain muzik atau memancing. Menggunakan NIKON D60 untuk tujuan kreatif ini.
View my complete profile

7.9.09

Mana Milik Kita (Rabbani): Setelah Berusaha dan Bertawakal.

FOTO DAN TULISAN OLEH : SYAIDUL AZAM KAMARUDIN
LOKASI: BELAKANG RUMAH ATUK, SERI MENANTI JOHOR BAHRU

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya


Pertama kali mendengar lagu ini dalam rancangan penghargaan kepada Ustaz Asri Rabbani siaran TV3 terasa seperti ada yang tidak kena (dari segi lirik). Namun, saya berhasrat untuk menyimpan lagu ini sebagai koleksi. Tambahan pula dalam siaran itu, lagu ini dan lagu Pergi Tak Kembali disampaikan secara langsung dengan penyampaian vokal yang saya rasa mempunyai kelainan dan luar biasa. Secara jujurnya saya tidak pernah mendengar lagu ini walaupun pernah dinyanyikan oleh Kumpulan Nada Murni. Mendengarnya berkali-kali selepas itu, menemukan saya kepada perspektif dan kesan emotif.

Hakikat insan menginginkan segala kemudahan dalam kehidupan dan menolak segala bentuk kesusahan. Sebagai insan kita juga seharusnya tidak letih berusaha membaiki amalan dan hidup kita. Keperluan zahir dan batin perlulah seimbang. Seperti jasmani memerlukan makanan untuk hidup, demikian juga rohani.

Hati merupakan sebahagian kecil dari ketulan darah yang tersimpan dalam diri insan. Memiliki hati yang bersih sangat sukar dicapai, apatah lagi untuk larut dan mengalir di dalam jiwa. Ia tidak semudah diucap bibir. Melalui perjalanan kehidupan sebagai hamba Allah Taala, tidak sunyi dari ujian dan dugaan. Kita yang tidak sempurna, terdedah kepada semua bentuk godaan dan ujian. Di sisi Allah Taala, Iman dan takwalah yang membezakan seseorang insan dengan insan yang lain.

Apakah lirik ini lahir dari hati? Dalam konteks ini saya melihat, lirik juga terbit dari bisikan hati. Seperti kelaziman lahirnya puisi atau sajak. Lirik lagu nasyid Mana Milik Kita ini adalah sebuah penghasilan indah dari cetusan kalbu penulisnya. Biarpun ungkapan berterus-terang, namun secara peribadi ia tidak menjejaskan usaha menyampaikan nasihat yang murni dan sihat. Malah dilihat menimbulkan penghayatan dan kesan emotif apabila dipadan dengan nada nasyidnya yang sesuai.

Dalam lirik lagu nasyid Mana Milik Kita, terlihat keazaman penulisnya untuk memperbaiki amalan, anjakan pemikiran dan mengubah tanggapan lumrah di dalam hidup. Dengan hati yang bersih sahaja manusia berupaya mengubah persepsi kepentingan diri dan hidup duniawi yang penuh nafsu-nafsi. Dengan keupayaan kewangan insan juga dapat memiliki apa sahaja. Namun penulis tidak melihat dunia sebagai tempat urusan ringgit dan sen semata-mata. Ada yang lebih penting daripada itu iaitu urusan dan hubungan insan dengan Allah Taala dan mencapai keredaannya.

Dari hati juga menerbitkan perasaan. Perasaan tidak sihat seperti sombong, berbangga dengan kelebihan diri dan material yang diperoleh, mengungkit jasa yang telah ditaburkan adalah perkara lumrah yang dituntut agar diberi perhitungan dan renungan semula oleh penulisnya. Disini penulis menyarankan agar insan sentiasa bersyukur.

Dalam lirik ini terdapat dua nasihat yang bernas. Pertama, segala yang insan telah miliki bukanlah milik insan yang mutlak. Insan sekadar mengusahakannya sahaja. Ungkapan Apa yang kita dapat, Allah sudah sediakannya. Merujuk kepada konsep tawakal insan setelah segala usaha dilaksanakan. Bukan sekadar menggantung harapan dan menungggunya dengan pasif. Kedua, penulis menyarankan insan sentiasa membuat jasa dan bantu-membantu sesama manusia. Setelah itu lupakanlah segala jasa yang telah kita buat kerana hakikatnya kita tak punya apa-apa.

17.8.09

Mendambakan Ketenangan.

Satu
‘Bebalisme.’ Seseorang yang mengetahui perbuatannya salah. Tetapi enggan mengakui kesilapannya dan mengatakan dialah yang benar. Lelah betul berurusan dengan manusia bebalisme ini. Huh!

Dua
Peristiwa:
1. Dato. Dr. Anwar Ridhwan bergelar Sasterawan Negara. (Dato Anwar gemar makan Serati. Menurutnya, beliau hanya makan di serati di Kelantan, jarang di tempat-tempat lain. Dato’ Anwar pernah bersama-sama saya dalam kereta, sambil saya memandu dan beliau bercerita akan harapannya terhadap DBP) 2. Rendra yang pergi, saya tiada pengalaman peribadi dengan beliau, sekadar membaca karya-karyanya. Saya menerima SMS dari Norhisham Mustaffa mengkhabarkan pemergiannya.3. Kehilangan Ustaz Asri (Kumpulan Rabbani), Kami pernah bertemu dan berpeluang bersalaman. Suaranya saya telah dengar lama dahulu semasa dalam kumpulan Nada Murni. Nasyid Assalamualaikum, Intifadah, Pergi tak Kembali, Kerlipan Cinta serta zikir dan alunan ayat suci Al-Quran menimbulkan penghayatan yang dalam. Semoga tenang di alam sana. 4.Juga beberapa hal lain yang terutama bersangkutan soal emosi yang memerlukan kekuatan. Namun aku takkan berundur dari perjuangan ini. Kalau patah pendayung, dengan jari tetap kukayuh jua!

Mendambakan ketenangan.









FOTO OLEH: SYAIDUL AZAM BIN KAMARUDIN

21.7.09

Kepada Pemancing.



FOTO OLEH: SYAIDUL AZAM BIN KAMARUDIN
LOKASI : MASJID MUAR, JOHOR.

8.7.09

PPSMI DIMANSUHKAN : SYUKURKU KEPADA ILAHI

KuCari Cahaya-Mu



FOTO OLEH : SYAIDUL AZAM KAMARUDIN
LOKASI : MASJID MUAR, JOHOR DARUL TAKZIM

Membeli buku kemudian ditandatangani oleh penulis di kulit buku dengan beberapa kata perangsang kadang-kadang pengharapan penulis merupakan sebuah himpunan yang indah. Dalam banyak-banyak buku yang saya peroleh sebegitu, satu catatan di kulit buku ini sentiasa terbayang dan teringat-ingat. Saya tidak tahu mengapa.

Buat sdra S. Azam,
Salam puisi dan hormat selalu daripada penulis.
Sama-samalah kita berjihad melalui puisi.
Didoakan sentiasa memperoleh rahmat & berkatnya.
Amin.

3.7.09

Batu-Batu di Jalanan



FOTO: Diambil dari blog AL-KURAUWI
DIEDIT OLEH : SYAIDUL AZAM BIN KAMARUDIN

HSKU 2008 telahpun berlangsung. Saya tidak hadir pada hari penyampaian tersebut kerana menjadi juri Debat Pengguna antara IPT di UTHM Batu Pahat, Johor. Saya berhasrat benar untuk hadir HSKU kerana inilah undangan kali pertama saya ke pentas HSKU yang sangat gah dan konsisten. Namun saya ke Batu Pahat kerana janji yang telah lebih dahulu dibuat dengan pihak DBP.

Tiga Jalur Kasih (Judul asal, Terima Kasih Cikgu) karya lama. Saya tulis pada tahun 2002 (jika tidak silap). Saya peram lama. Terilham semasa mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih di SMK Iskandar Shah Parit, Perak. Saya bawa ke Kuala Lumpur semasa bertugas di DBPKL. Saya bertukar pula ke DBP Wilayah Timur, dan drafnya sentiasa saya baca tanpa mengubah apa-apa. Kisah ini adalah cebisan pengalaman saya bersama-sama pelajar kelas peralihan yang kurang pandai membaca dan menulis. Memanglah terasa jurang mengajar ketika itu kerana saya juga ditugaskan mengajar pelajar tingkatan 6 atas yang pastinya penuh komitmen dengan azam untuk ke universiti. Dapat pula mengajar di kelas peralihan memang memerlukan ketabahan yang luar biasa.

Minggu Penulis Remaja (MPR) sentiasa saya ingati. Kerana di sinilah saya diajar menulis dengan cara yang betul. Di samping perkenalan dengan rakan-rakan penulis Kelantan yang sentiasa meniupkan semangat penulisan kepada saya terutama Abdul Hadi Yusoff dan Norhisham Mustaffa. Merekalah yang kerap bertanyakan karya saya. (Abdul Hadi ketika bersarapan di kedai 'keliling'. (Kedai minum, nasi berlauk yang biasa terdapat di Kelantan) Atau Abang Norhisham ketika minum kopi yang dicampur dengan marjerin.) Dan inilah karya pertama saya yang termuat dalam antologi yang secantik ini. Syukran.

17.6.09

Karya Lama dari Fotopages

Laman fotopages saya sudah tidak aktif. Peringkat awal minat dalam fotografi itulah ruang pengkaryaan saya. Dua hari lalu seseorang menelefon saya. Dia ingin membeli gambar dari laman fotopages tersebut. Saya agak terkejut kerana inilah pertama kali karya fotografi saya diingini sehingga sanggup dibeli! Sedangkan gambar itu saya ambil menggunakan kamera kompak yang kecil sahaja sebelum berpeluang memiliki NIKON D60. (catatan: Bukan dua gambar ini yang dibeli oleh insan tersebut)



FOTO OLEH: SYAIDUL AZAM KAMARUDIN




FOTO OLEH : SHABIHAN (MOMENT CAPTURE)
DIEDIT OLEH :SYAIDUL AZAM KAMARUDIN

15.6.09

Pulau Pangkor II



FOTO OLEH : SYAIDUL AZAM BIN KAMARUDIN
LOKASI : KOTA BELANDA, PULAU PANGKOR

14.6.09

Pulau Pangkor


FOTO OLEH : SYAIDUL AZAM BIN KAMARUDIN

Walaupun bergelar anak jati Perak, namun ini kali kedua saya berpeluang menjejakkan kaki ke destinasi ini. Pangkor sebagai sebuah destinasi pelancongan yang masyhur di Perak perlu kepada usaha penambaikan. Kebersihan di kedai-kedai makan haruslah diberi perhatian serius selain perkhidmatan kereta sewa yang menghampakan. Hanya keindahan pantai yang boleh dibanggakan di sini. Ya, hendaknya khazanah alam yang satu ini abadi dalam biru-hijaunya.

Rakan

Arkib