Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

7.9.09

Mana Milik Kita (Rabbani): Setelah Berusaha dan Bertawakal.

FOTO DAN TULISAN OLEH : SYAIDUL AZAM KAMARUDIN
LOKASI: BELAKANG RUMAH ATUK, SERI MENANTI JOHOR BAHRU

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya


Pertama kali mendengar lagu ini dalam rancangan penghargaan kepada Ustaz Asri Rabbani siaran TV3 terasa seperti ada yang tidak kena (dari segi lirik). Namun, saya berhasrat untuk menyimpan lagu ini sebagai koleksi. Tambahan pula dalam siaran itu, lagu ini dan lagu Pergi Tak Kembali disampaikan secara langsung dengan penyampaian vokal yang saya rasa mempunyai kelainan dan luar biasa. Secara jujurnya saya tidak pernah mendengar lagu ini walaupun pernah dinyanyikan oleh Kumpulan Nada Murni. Mendengarnya berkali-kali selepas itu, menemukan saya kepada perspektif dan kesan emotif.

Hakikat insan menginginkan segala kemudahan dalam kehidupan dan menolak segala bentuk kesusahan. Sebagai insan kita juga seharusnya tidak letih berusaha membaiki amalan dan hidup kita. Keperluan zahir dan batin perlulah seimbang. Seperti jasmani memerlukan makanan untuk hidup, demikian juga rohani.

Hati merupakan sebahagian kecil dari ketulan darah yang tersimpan dalam diri insan. Memiliki hati yang bersih sangat sukar dicapai, apatah lagi untuk larut dan mengalir di dalam jiwa. Ia tidak semudah diucap bibir. Melalui perjalanan kehidupan sebagai hamba Allah Taala, tidak sunyi dari ujian dan dugaan. Kita yang tidak sempurna, terdedah kepada semua bentuk godaan dan ujian. Di sisi Allah Taala, Iman dan takwalah yang membezakan seseorang insan dengan insan yang lain.

Apakah lirik ini lahir dari hati? Dalam konteks ini saya melihat, lirik juga terbit dari bisikan hati. Seperti kelaziman lahirnya puisi atau sajak. Lirik lagu nasyid Mana Milik Kita ini adalah sebuah penghasilan indah dari cetusan kalbu penulisnya. Biarpun ungkapan berterus-terang, namun secara peribadi ia tidak menjejaskan usaha menyampaikan nasihat yang murni dan sihat. Malah dilihat menimbulkan penghayatan dan kesan emotif apabila dipadan dengan nada nasyidnya yang sesuai.

Dalam lirik lagu nasyid Mana Milik Kita, terlihat keazaman penulisnya untuk memperbaiki amalan, anjakan pemikiran dan mengubah tanggapan lumrah di dalam hidup. Dengan hati yang bersih sahaja manusia berupaya mengubah persepsi kepentingan diri dan hidup duniawi yang penuh nafsu-nafsi. Dengan keupayaan kewangan insan juga dapat memiliki apa sahaja. Namun penulis tidak melihat dunia sebagai tempat urusan ringgit dan sen semata-mata. Ada yang lebih penting daripada itu iaitu urusan dan hubungan insan dengan Allah Taala dan mencapai keredaannya.

Dari hati juga menerbitkan perasaan. Perasaan tidak sihat seperti sombong, berbangga dengan kelebihan diri dan material yang diperoleh, mengungkit jasa yang telah ditaburkan adalah perkara lumrah yang dituntut agar diberi perhitungan dan renungan semula oleh penulisnya. Disini penulis menyarankan agar insan sentiasa bersyukur.

Dalam lirik ini terdapat dua nasihat yang bernas. Pertama, segala yang insan telah miliki bukanlah milik insan yang mutlak. Insan sekadar mengusahakannya sahaja. Ungkapan Apa yang kita dapat, Allah sudah sediakannya. Merujuk kepada konsep tawakal insan setelah segala usaha dilaksanakan. Bukan sekadar menggantung harapan dan menungggunya dengan pasif. Kedua, penulis menyarankan insan sentiasa membuat jasa dan bantu-membantu sesama manusia. Setelah itu lupakanlah segala jasa yang telah kita buat kerana hakikatnya kita tak punya apa-apa.

19 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Azam,
Maka semakin terbukti kata-kata mantan Pengarah anda sedikit masa dahulu bahawa kata-kata @ tulisan anda lewat puisi (contohnya) ke arah bersifat SUFI. Kawan di sini masih ingat akan kata-kata mantan Pengarah anda itu, ya... anda tergolong dalam kalangan penulis dan pemikir yang luar biasa ilmunya serta dalam kelompok prolifik... Hamba di sini beginilah juga adanya, insan kecil dan kerdil yang cuba menjejak langkah pemikiran unggul sdra (tetapi hamba tidak upaya)... Hehehe...
Tahniah atas tulisan dan pemikiran yang bermutu dan berpanduan ini.

Rusdi Abd Rahman said...

(Balasan komen balik dalam rarws.blogspot.com)
Sdra. Azam,
Bukan pujian tinggi yang diutamakan dalam komen kawan itu, tapi satu semangat untuk Sdra. dan kawan juga agar dapat menjejak serta mengejar ke arah itu dalam kemampuan seadanya. Sdra. tetap kritis dan bermotivasi bila menulis, itu yang pasti serta tidak boleh dinafikan oleh Sdra., kawan mengkajinya walaupun hanya secara umum.

Azhar Salleh said...

Salam AZAM,
Saya amat-amat bersetuju dengan pandangan RAR. Pemikiran saudara dalam kelas tersendiri. Walaupun saya agak baru mengenali saudara, namun pemikiran saudara lewat puisi telah saya taakul terlebih dahulu. Tentang "Mana Milik Kita", memang kita tidak punya apa-apa. kalau dalam versi otai rock, mungkin ada persamaannya dengan "Bukan Milik Aku" dendangan XPDC. (RAR ada bercerita tentang ini dalam blognya). Milik kita mungkin hanyalah dosa dan kesilapan yang maha, dan sepicing jasa yang tidak sebesar mana. Itupun jika dinilai ikhlas oleh Allah swt. Mudah-mudahan kita semua akan terus dirahmati-Nya.

4 Kay-E said...

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Batin.
dari kami sekeluarga,
Khai-Ita & 4E

jaanlina artwork said...

Salam Aidilfitri..
Raya ni Balik mana yeop..
SElamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

cak said...

selamat hari raya bang.

maaf klu ada tersilap tersalah.

terokai seni said...

dah lama tak menjejak ke sini, masa kat sana dulu kebetulan sahaja berjumpa dengan blog ni... balik ke sini jumpa melalui pautan rakan.. emmm terasa lama tak berjumpa

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sdr.azam. 'salam pertama kali jumpa', di angsana tempohari. insya-Allah kita bersua lagi.

Anonymous said...

salam....lama tak update... ni kak cik ni. uploadla gambar raya dulu....

tomeiwatayang said...

mana milik kita...

Melihat Kesunyataan said...

Sdra. Azam,
Memang kita hanya meminjam kehidupan ini, sampai masanya kita akan memulangkan kembali kepada-Nya.
Lirik Nasyid ini memang mengesankan. Lebih-lebih lagi apabila mendengarnya dari kumpulan Rabbani.

NASSURY IBRAHIM said...

Macam mana pengajian? Harap semuanya ok

maylique said...

Askum Syaidul...
lama tak jenguk awak.tima kasih sebab masih ingat mai fp kak ya...

heheheh
nak tau maksud coretan tu kena mai semula tau nanti...sebab keputusan akan kuar jumaat 20/11/09

pas tu kan syaidul.kamera dapoq adalah kamera kecik yang digunakan oleh suri rumah dlm fotopages lepas masak shoot gambr dan bukan kamera DSLR...hehehehheehe

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Azam,
Salam Eidul Adha atas pengorbanan panjang di DBP Timur. Alhamdulillah kini di Selatan. Tahniah puis yang keluar Ahad lalu. Muat naik ke dalam blog ya!

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Bukan puis, puisi la. Gopoh menekan.

mohd dzikri said...

sebenarnya ia adalah sebuah puisi hasil luahan hati dari seorang insan agung.....

Unknown said...

mohon copy dan simpan liriknya tuan....sy suka liriknya...

Nas Ibrahim said...

Kalau dengar nasyod ini,memang mengalir deras air mata. Entah kenapa. Sentuhan amat memdalam, suaranya syahdu dan mendayu. Membuatkan kita lagi banyak bergantung harap padaNya... yang semestinya dan sepatutnya begitu.

Nas Ibrahim said...

Kalau dengar nasyid ini,memang mengalir deras air mata. Entah kenapa. Sentuhan amat mendalam, suaranya syahdu dan mendayu. Membuatkan kita lagi banyak bergantung harap padaNya... yang semestinya dan sepatutnya begitu.

Arkib