Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

4.12.08

Mereka, rakan seusia yang telah pergi.

Seorang rakan yang akrab namanya Mohd Razi. Arwah berambut kerinting dan putih orangnya. Pada usia yang sangat muda telah terpilih mengadap Allah Taala. Itulah kali pertama melihat jenazah yang seusia dengan kita dalam perbaringan yang sangat sunyi. Arwah sering muncul dalam mimpi saya hingga ke hari ini. Ketika di sekolah menengah aku bermimpi beliau bermain bola sepak bersama-sama kami satu kelas. Kadang-kadang memori hampir keliru dengan kenyataan bahawa arwah telah pergi lama dahulu. Mungkin kerana kerapnya arwah muncul dalam mimpi dan seperti turut meniti remaja dan dewasa bersama-sama.

Dalam tingkatan 1, Tahun 1991. Mula mengenali Fadil. Arwah dari kelas lain. Tetapi kami bertemu dalam satu pertandingan Bakat Seni Suara sekolah di penghujung tahun. Sedap alun dan lantun suara arwah. Dalam pertandingan itu arwah menyanyikan lagu dari kumpulan ARENA, SELAMAT TINGGAL CINTA. Pada hari pertandingan memang tuah kami. Aku bergelar naib johan dan arwah di tempat ketiga. Kami pelajar tingkatan 1 tika itu berjaya mengalahkan peserta dari tingkatan 2,3,4, dan 5. Memang hari itu hari gembira untuk kami. Hari yang berbaki di hujung tahun kami saling mengenali dan berkongsi. Dan kami makin dikenali di sekolah. Dalam cuti, beliau terlibat dengan kemalangan motosikal dan setelah itu lagu SELAMAT TINGGAL CINTA memang memberi erti yang serba lain kepada diriku.

Suhaimi pula menjejak pemergian Fadil ketika dalam tingkatan 2. Arwah mengidap penyakit kulit yang serius. Walaupun begitu kami tetap bersahabat. Pernah belajar di satu kelas yang sama tetapi kemudian arwah digugurkan dari kelas kami kerana kemerosotan dalam pelajarannya. Pemergian arwah sekali lagi menyedarkan aku bahawa kematian ada di mana-mana dan akan hadir bila-bila.

Yang terkini, dalam persiapan aku berpindah ke Johor Bahru aku dikejutkan dgn SMS dari rakan. Dan pada malam itu berita kemalangan pegawai dari Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) menjadi agenda pertama dalam dalam BULETIN UTAMA TV3. Esoknya wajah-wajah mereka tersiar di akhbar. Arwah Nik Farah Suhanis antara orang yang banyak menggerakkan kegiatan di Kelantan. Atas nama Perpustakaan Negeri dan DBP kami sering mengadakan kerjasama apabila mengadakan program. Sempat sebelum berangkat ke Johor Bahru melefon dan meminta maaf. Arwah seorang yang baik dan murah senyuman.

Berita dan mengadap jasad kematian adalah sesuatu yang cukup tragis dan mendatangkan kesan keharuan yang serba lain. Bilalah pula giliran kita? AL FATIHAH.

No comments:

Arkib