Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

12.2.08

Setelah Banjir


Kuhimpunkan namaku dan anak-anakku dalam puisi ini. Dengan pengalaman, daya khayal dan ilham kulukiskan perkhabaran banjir dari tanah ini. Bagiku puisi ini amat istimewa. Tahniah juga buat sahabatku IKHLAS S.R .dari Kota Bharu yang karyanya terpilih dan kami berkongsi ruang pada minggu lalu.(Ahad, 10 Februari 2008)
SETELAH BANJIR
Desah angin dan rasuk hujan
melayah ke daerah persisiran ini
menerpa membawa pesan rahsia
memanjat tiang, tingkap dan perabung rumahmu.

Daun-daun Disember yang gugur
penuh ketar perkhabaran
melemaskan kezaliman insan
menginsafkan Maha kekuasaan
dalam naskhah tafsir hidup yang kudus.

Pengap nestapa yang terkurung
menerjah ribuan salam dan ingatan
seroja impian berkecai dihanyut waktu
doa-doa basah berarak ke langit kelabu
reda takdir berapungan di pintu iman.

Mereka membasuh luka-luka nurani
yang pernah bernanah di lantai amarah,
membersih putih pakaian kasih
yang pernah terpalit hitam prasangka,
mencantum azam dan istiqamah yang terpecah
ke langit Maha Kamil
seluruh hasrat pengabdian
terkirim dalam bahasa rindu
kepada-Mu Kekasih.

Setelah banjir
kini berterbangan debu-debu nasib yang pijar!

-SYAIDUL AZAM KAMARUDIN
PCB KOTA BHARU, KELANTAN

3 comments:

Korakora said...

oit, aku mengusik sastera di kelantan! nak tau orang dbpwt melatah mcm mana... hehehe

Nimoiz T.Y said...

Saya simpan juga keratan puisi dalam MM tu. Tak sempat cakap panjang di DBP baru-baru ni. Terima kasih untuk 2 buah buku tu.

mohamad kholid said...

sdr,
apa syarat sayembara novel maidam/dbpwt yang baru ini?

Arkib