Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

6.1.08

ulasan

Terima kasih kepada Saudara DARMA MOHAMAD yang sudi pula menuliskan sedikit ulasan tentang Antologi puisi Di Wakaf Insaf. Tulisan beliau ini masih belum disunting.


SUARA DARI BALIK JERUJI
Oleh : DARMA MOHAMMAD



agar kaca : suci tanpa debu
agar besi : mulia tanpa karat
agar sisa : tetap bermafaat
agar mudarat : tidak merebak
[ Sajak Kitar Semula : Obaidah Ariff Othman ]

“Insaf” merupakan satu kata keramat yang tumbuh di dalam diri manusia. Keinsafan tidak hadir dalam diri setiap orang, tetapi ramai orang pula pernah merasai kehadirannya. Dari balik jeruji yang kebal itu, berselerak suara keinsafan. Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (2007) sempat mengutip suara itu dan dijaras ke dalam sebuah antologi puisi berjudul “Di Wakaf Insaf”.
Bukan senang untuk memaknakan keinsafan dengan tulus. Ini sebuah tema besar, kerana keinsafan adalah kerja kalbu, bukan kerja tangan dan kerja otak sahaja. Sejumlah 29 orang yang diam di balik jeruji telah mengungkapkan tema besar ini melalui rangkap-rangkap sajak.
Mari sama-sama kita berbaik sangka dan berikhlas seada-adanya terhadap ungkapan para pencatat perasaan di dalam antologi ini. Besarnya suara kalbu Obaidah Ariff Othman di dalam ungkapan yang dipetik di atas. Suci, mulia dan manfaat menjadi impiannya dan berdengung di dalam batinnya.
Keinsafan sebahagian daripada taubat itu sendiri. Ini yang disuarakan oleh Mahadi Mahmood melalui sajak “Taubat”. Demikian cantik apa yang dilafazkan oleh lidahnya bila dia menulis : “Aku lafazkan tasbih / aku bertahmid / aku bertakbir / aku bertahlil”. Demikian juga Tg.Johari Tg.Alay mengungkapkan rasa keinsafan melali sajaknya “Detik Silam”. Katanya, “pada-Mu Ilahi aku berdoa / kaumaafkan segala dosa.”
Kelompok penulis dari balik jeruji ini semuanya menzahirkan perasaan kekesalan. Mereka mengapungkan riak-riak kekudusan hati dengan mengarahkan pengucapan kepada Maha Pencipta.
Ungkapan ini mudah ditemui melalui nukilan Mohd Tarmizi Mohamad (hamba yang perlu mengabdi diri kepada yang Maha Kuasa), Mohd Tarmizi Lot (hidup ini mencari keredaan Ilahi), Mohd Faizal Sidek (memohon seribu ampun dari-Mu), Budiman Ismal (Yang kuimpikan hanyalah keredaan-Mu), Mohd Zaidi Ab Rahman (aku memohon pada-Mu / berilah petunjuk padaku), Mohd Zawawi Shamsudin (Oh Tuhan / kepadamu aku memohon ampun) Mohd Sani Ismail (kalimah suci-Mu menyusup damai / menuju jalan cahaya) dan beberapa penulis lagi.
Carilah makna melalui ungkapan-ungkapan itu. Kejujuran penulisnya bakal menjadi titik-tolak yang penting bagi sejarah hidup masing-masing. Itu percakapan batin mereka yang dizahirkan. Mereka sendiri pastinya lebih terbeban untuk melaksanakan apa yang diucapkan. Suara seseorang yang terhukum selalunya mendekali suara nurani yang teruji keikhlasannya. Yang jujur itu luhur.
Tatkala dihempas sepi dan tekanan, seseorang mudah mengingati manusia yang intim dengannya. Ini dapat dikesan di dalam antologi ini. Beberapa pensajak (penulis+sajak) ternyata dengan nyaring mengungkapkan pelbagai perasaan terhadap ibu yang mereka sayangi. Sang ibu tidak ada duanya, tidak ada pengganti baik dari segi apa pun. Kasih ibu terhadap sang anak, seakan senyawa dengan alam, tidak ada surutnya.
Mohd Zawawi Shamsudin mengenang segala kasih sayang ibunya. Tatkala berada di balik jeruji ini, dia memohon keampunan kepada ibunya. Mohd Zaidi Ab Rahman pula dengan bahasa yang halus melahirkan rasa rindunya kepada sang ibu. Manakala Fadhil Mohd Idris pula mengenang segala jasa ibu dan ayahnya tatkala dia begitu disayangi sewaktu kecil dan pendidikan yang diberikan kepadanya. Beliau berjanji untuk tidak mengabaikan ibu dan ayahnya serta tetap menyanjung jasa-jasa mereka. Demikan juga dengan Mohd Ridzuan Rashid mengungkapkan perkara yang sama, cuma nadanya lebih melankolik. Penulisnya kesal ke atas apa yang terjadi sehingga ibunya “derita”, “merana’, dan “kecewa”.
Kenangan terhadap isteri dan anak-anak turut diutarakan oleh pensajak. Ini dapat dibaca melalui sajak-sajak tulisan Mohd Munis Abdul Latif dan Azran Rosli. Ahli keluarga tetap melontarkan ingatan. Ini satu ziarah kasih ke atas orang yang disayangi setelah dibatasi tembok kebal undang-undang. Kepada kaum keluarga, satu pengertian perasaan amat diharapkan. Sokonglah orang-orang yang merintih. Ini membuatkan keinsafan semakin kental.
Pengalaman dan refleksi diri tatkala berada di dalam penjara dapat dilihat melalui sajak-sajak Zulkifli Che Soh, Anuar Ramli, Ahmad Rafis’a Mahmood, Mohd Adly Hafez Hedayat, Dedy Irawan Samin, Ahmad Bakhtiar Mohd Noor, Abdul Aziz Ab Hamid, Mohd Aduka Mohamad, mohamad Azhar Abd. Aziz, Ahmad Fadzil Md.Saad, Nasarudin Adnan Osman Mat Amin, Husaimie Muhamad dan Syehnaz Kamarulzaman.
Kepada penghuni penjara, pengalam anda itu cukup berbekas di lembaran hati masing-masing. Anda semua telah luahkan apa yang terbaik daripada cembul nurani anda. Hal seperti ini bukan tidak pernah terjadi. Dari bilik-bilik penjara terletus suara nurani yang acap kali jujur dan luhur. Di luar negara, penghuni penjara seperti Dietrich Bonhoeffer telah menghasilkan puisi-puisi hebat, sewaktu beliau dihukum atas tuduhan mengadakan konspirasi untuk membunuh Hitler.
Said Zahari, tahanan politik (oleh Lee Kwan Yew) yang dipenjarakan selama 17 tahun telah mengarang tidak kurang daripada 18 buah puisi dan dapat dibaca di dalam bukunya “Meniti Lautan Gelora”. Baru-baru ini pada 12 Disember 2007, telah terbit puisi yang dikarang oleh 17 orang tahanan Guantanamo. Buku yang disusun oleh Prof.Marc Falkoff ini diterbitkan di Britain. Sekian ramai penghuni penjara yang menulis sajak jika anda rajin mencari untuk membacanya.
Pasti sekali banyak ruang bagi pensajak di atas untuk membaiki diksi. Pada pandangan saya, pensajak dari balik jeruji ini mempunyai penguasaan bahasa yang baik. Pasti sekali, mereka ini mempunyai pendidikan yang baik. Kalimat yang halus dapat paparkan. Mereka harus mempertajamkan lagi metafora. Tidaklah diketahu sejauh mana mereka dapat melakukan sesuatu sewaktu di dalam tahanan.
Peluang harus diberi untuk mereka terus berkarya. Tidaklah diketahui sejauh mana pihak media sanggup membuka medan untuk mereka pada masa yang akan datang. Apa pun ucapan tahniah tahniah patut diberikan kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Tuan Haji Mohamad Yusoff Ishak, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Mustafa bin Osman; dua orang penyusun antologi ini, Syaidul Azam Kamarudin dan Ab.Basir Mohamad dan juga penceramah lantikan DBPWT, Norhisham Mustaffa dan Abdul Hadi Yusoff.
Suara dari penjara dalam bentuk antologi puisi boleh dianggap baru di negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah menyalakan ubur kreatif ke satu daerah (penjara) yang sebelum ini semacam tersisih. Bakat dalam bidang persuratan terserlah di sana. Suara mereka telah mengalir ke luar jeruji lalu dapat didengar oleh orang banyak.
Membaca “Di Wakaf Insaf” tidak lain membaca diri kita sendiri yang acap kali tersasar daripada jalan yang hak. Selepasnya kita melakukan refleksi dan muhasabah diri sehingga kita bertemu kembali pintu keinsafan. Pintu keinsafan yang ditemui oleh para pensajak di dalam antologi ini, merupakan satu titik penting dalam kehidupan manusia.

© DM



No comments:

Arkib