Sera-Di Badai Asmara

Kalau cuma agak-agak,konon-konon dan juga telahan: Lebih Baik, Lebih Manis, Lebih Afdal Tutup Mulut Diam.

Tentang Diri

My photo
Leluhur, tanah kelahiran di Parit, Perak Darul Ridzuan. Berkhidmat sebagai guru sebelum bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah bertugas di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, DBP Kuala Lumpur (1 tahun), DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan (7 tahun). Dan kini bertugas di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor. Menulis puisi, cerpen dan artikel. Karya kreatif tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Wanita, Berita Perak, CAP,dll. Sajaknya Waktu Emas memenangi tempat pertama pertandingan menulis puisi kualiti anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpennya Tiga Jalur Kasih memenangi hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2009 kategori cerpen remaja dan telah diterbitkan dalam antologi cerpen berjudul Batu-Batu di Jalanan dan Puisi Setia Bahasa memperoleh hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor. Pada tahun 2012 terpilih mengikuti Program Penulisan Sasterawan Muda MASTERA (Majlis Sastera Antarabangsa) XV di Anyer Banten Indonesia. Meminati fotografi dan muzik.

24.1.07

Wilayah Cinta

Saat awal wilayah ini kujejaki
hamparan sucinya mendamai di serambi budi
datarannya subur membawa sutera erti
sinar mentari pagi secerah sinar hati
dan aku selalu menjadi pentafsir sufi
dalam lara mimpi-mimpinya.

Inilah wilayah cinta
dan kitalah pembina teraju bangsa
menerokai peradaban Melayu ke khazanah tinggi
kemanakah akan kubawa nisan cinta
dan pusara bahagia setelah wilayah cinta
direbuti geroda-geroda tanpa ikrar
berhati durja curiga?

Selamat datang ke Wilayah Penyingkiran.

Saat wilayah cinta ini bakal kutinggalkan. Kau namainya pula wilayah penyingkiran.

Tiada lagi pohon-pohon lontar, payung damai tempat menukil resah laraku. Tiada lagi dataran subur yang menganjur ke ufuk setiakawan. Tiada lagi mimpi-mimpi indah yang terkepak ke saujana langit lazuardi. Tiada lagi sinar mentari yang menyuluh gelita hati.

Yang tinggal hanyalah sebuah keikhlasan yang rapuh
dan aku yang kian tersentuh!

No comments:

Arkib